![]() |
| suasana seperti ini hanya terdapat didalam negara yang aman damai ... |
Dalam keghairahan semua orang
bercakap tentang politik negara masa kini, maka saya juga ingin tumpang sama
untuk menceritakan pengelaman lama yang telah saya lalui empat puluh tiga tahun
yang lalu. Waktu itu saya berada didalam tingkatan lima. Di suatu petang, emak
saya telah meminta saya menghantar padi yang telah dijemurnya untuk dikisar
menjadi beras di sebuah kilang padi kepunyaan koperasi di kampung seberang di mana
kilang padi itu berada (kini kilang padi tersebut telah tiada dan kawasan kilang
tersebut telah ditanam pokok getah). Pada ketika itu sawah di hadapan rumah
kami masih diusahakan dan setiap tahun emak dan seluruh penduduk kampung
kami mengusahakan sawah padi. Di luar
musim padi emak menanam kacang tanah dan jagung di atas tanah sawah yang seluas
satu ekar atau seluas dua jenjang ikut ukuran
tradisional. Pangkal sawah padi itu di hujung halaman rumah kami dan hujungnya bersempadan dengan sungai di hadapan
rumah kami. Hasil dari jualan jagung dan kacang tanah emak kumpul-kumpulkan dan sebahagian besar
perbelanjaan emak dan abah pergi
tunaikan haji adalah dari duit tersebut. Sungai itu pula adalah tempat saya
membasuh pakaian di waktu perigi kekeringan airnya dan sungai itulah juga
tempat saya mandi manda bersama kawan-kawan tatkala airnya besar. Kini, sungai
tersebut terlalu berbeza sifat fizikalnya. Sempit dan kecil. Saya pernah
membawa anak-anak ke sungai itu tatkala menziarahi emak dan anak-anak tidak
percaya kepada cerita-cerita saya tentang kehebatan saya terjun, menyelam dan
berakit di sungai itu bersama kawan-kawan di suatu ketika dulu.
Balik
kepada cerita saya diawal tadi di mana setelah selesai padi yang saya bawa
dikisar di kilang, saya ambil berasnya dan letak di atas basikal untuk pulang ke
rumah. Upah kisar padi itu telah saya bayar di waktu mula sampai apabila padi
itu selesai ditimbang.
Didalam
perjalanan pulang ke rumah, belum pun sampai setengah perjalanan saya nampak emak
berlari-lari tanpa memakai selipar dan tudung kepalanya memanggil saya dan
berkata cepat balik kerana orang China telah mengamuk dan jangan pergi kemana-mana. Duduk di rumah
diam-diam. Sampai di rumah saya lihat
abah (kini abah telah kembali ke Rahmatullah, semoga Allah swt sentiasa
merahmatinya) tengah tekun mengasah
parang yang katanya kalau apa-apa berlaku dia akan turut berlawan menggunakan
parang tersebut. Peristiwa yang penuh dengan ketakutan dan kegelisahan itulah
yang lebih dikenali sebagai PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969. Di bandar Kuala
Lumpur pergaduhan telah berlaku antara orang China dengan orang Melayu. Ramai
yang terbunuh dan banyak harta benda dibakar. Tragedi itu telah menukar senario
politik negara dan pada saya terlalu banyak rahmatnya berbanding kerosakan dan
kemusnahan yang berlaku. Pada masa itu
abang saya bekerja di Kuala Lumpur sebagai pemandu di sebuah syarikat kepunyaan
seorang China. Abang saya tidak dapat dikesan selama beberapa hari. Kami
sekeluarga berada didalam suasana yang amat sedih dan gelisah. Di mana hendak
dicari dan kepada siapa hendak bertanya di mana abang saya berada.
Rupa-rupanya
abang saya tidak dibenarkan balik dan diajak tinggal di rumah majikannya itu,
kerana dikhuatiri perkara buruk akan menimpa abang saya jika dia terus berjalan
balik kerumahnya.
Punca
pergaduhan antara orang China dan orang Melayu seperti yang saya difahamkan
pada ketika itu ialah kerana sebahagian kecil orang-orang China di Kuala Lumpur telah begitu angkuh dan sombong akibat
sedikit kemenangan yang diperolehi oleh parti orang China di Kuala Lumpur dalam
pilihanraya tahun 1969 itu dan mereka telah
berarak meraikan kemenanagn tersebut dengan kata-kata penghinaan dan melaungkan
jeritan supaya orang Melayu balik kampung kerana mereka telah menguasai Kuala
Lumpur.
Peristiwa
berdarah ini sampai juga kesannya ke kampung saya dan telah berlaku juga
beberapa tragedi luka antara orang China dan orang Melayu.
Biarlah
peristiwa hitam itu tinggal di dalam lipatan sejarah dan marilah kita semua
berusaha agar peristiwa seperti itu tidak
berlaku lagi kerana kesan dan lukanya amat dalam dan pedih dalam senario perpaduan kaum di negara
tercinta Malaysia ini.
Kini,
Mei 2012. Peristiwa Mei 1969, empat puluh tiga tahun yang lalu masih tebal
didalam ingatan saya. Pilihanraya semakin hampir. Lagu-lagu politik rancak
didendangkan. Penyanyinya semakin berani menyanyikan lagu-lagu yang sensitif
dari sudut perpaduan kaum di negara ini. Ketakutan sebahagian besar orang-orang
Melayu jika negara tercinta ini jatuh ketangan rakus semakin ketara dan
keghairahan segelintir maanusia untuk menjadi pemimpin negara semakin membara
tanpa mengambilkira akibat dan kesan dan tanpa mengambil iktibar segala
pengajaran silam. Mereka lupa saudara dan mereka lupa nasib anak bangsa di
hari-hari muka. Mereka lupa kita tidak punya apa-apa selain dari kuasa. Mereka
juga lupa bahawa kuasa boleh ditebus gadai dengan wang dan harta. Mereka lupa
bahawa selain dari musuh politik kita sering di adu dumba oleh kuasa ketiga.
Kuasa ketiga sentiasa curiga dan tidak selesa kerana sebahagian besar rakyat Malaysia
adalah berpegang teguh kepada ajaran
Allah yang esa.
Justeru
itu, percayalah wahai saudara-saudara ku yang sebangsa dan bukan sebangsa
bahawasanya jika kita ingin terus selesa dan ceria hidup di negara tercinta
Malaysia ini, marilah kita teruskan kesinambungan pemerintahan yang ada kerana
telah terbukti nyata bahawa ianya telah
banyak memberi jasa demi kedaulatan bangsa dan keamanan untuk semua. Percayalah
kita tidak punya apa-apa sebenarnya, kecuali kuasa. Kekalkan kuasa yang ada
demi masa hadapan yang penuh gemilang. Kita lupakanlah segala titik bengik dan
kesilapan lalu dan kita fikirkanlah masa hadapan yang selesa untuk anak cucu
yang bakal mewarisi negara tercinta ini. Saya tidak yakin anak cucu kita akan
hidup selesa jika negara tercinta ini jatuh ketangan orang-orang yang rakus dan
gila kuasa. Jadikan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai iktibar. Semoga Allah swt
akan terus melindungi kita dan negara ini dari sebarang bencana. Kita adalah
serupa, ingin hidup selesa dan ceria di negara tercinta ini hingga
selama-lamanya.

Wahai anak bangsa cuba kita renung jauh kehadapan pastikah kalau 'change' yang dibuat akan memihak dan dapat menjamin masa depan. Jangan nanti kita hanya menjadi 'tapping stone' untuk kuasa lain yang mempunyai niat yang tertentu untuk melunaskan segala hajat mereka.
ReplyDeleteJangan nanti kita hanya jadi tukang sorak tapi akhirnya kampung halaman sendiri tergadai. Pastikah kita boleh memberi jaminan untuk membawa arus bangsa kita menguasai tanah kandung ini ?
Bukalah mata, bacalah sejarah, lihatlah masa lampau.
Kita akan jadi 'tidak serupa' akhirnya. Menagih simpati ditanah sendiri.
Berhati-hatilah bangsaku. Berperanglah kita kerana prinsip perjuangan tapi... pegang teguh dan kasihilah bangsa dan agama.
Saya yakin kita pasti serupa, serupa warna kulit dan serupa tentang inspirasi negara. Syabbas saudara ku. Kita teruskan sokongan dan perjuangan ini. Pastikan kesinambungan kejayaan ini dan marilah kita berdakwah kepada yang lain tentang keserupaan kita ini. Terima kasih.
ReplyDelete