Tuesday, 22 May 2012

Jasa kita akan dikenang jika kita mengenang jasa orang



Pada 17 Mei 2012 lalu saya berpeluang lagi melancong ke  Vietnam dan kali ini tumpuannya ialah ke bandaraya Hanoi yang terletak di utara Vietnam. Kami sampai di Hanoi jam 9.20 pagi waktu Hanoi atau jam 10.20 pagi waktu Malaysia.
   Rombongan kami seramai 30 orang, terus menaiki bas menuju Ha Long Bay di mana kami telah dibawa melawat sekitar Ha Long Bay yang terkenal dengan keindahan alam semulajadinya dan bermalam di dalam kapal “Ha Long Emotion Cruise”.
   Suasana di teluk tersebut amat nyaman dan air lautnya tenang tanpa deburan ombak kerana dipagari oleh ribuan pulau-pulau besar dan kecil yang pelbagai bentuk dan rupa. Inilah keunikan Ha Long Bay. Saya berkata kepada isteri yang sedang berbaring di atas katil di dalam cruise, inilah kebesaran Allah dan kita hendaklah bersyukur kerana telah  memberi peluang kepada kita ke sini untuk menyaksikan kehebatan ciptaanNya.
   Pada Sabtu 19 Mei 2012,  adalah hari ulangtahun kelahiran Ho Chi Minh(bapa pembangunan Vietnam), yang ke 122. Ibu negara Vietnam yang dahulunya dikenali sebagai Saigon telah ditukar kepada nama beliau yang kini dikenali sebagai Bandaraya Ho Chi Minh. Ho Chi Minh meninggal dunia dalam tahun 1969. Mayatnya tidak dikuburkan tetapi diawet dan disimpan disebuah muzium berhampiran tempat tinggal dan  pejabatnya di zaman beliau berkuasa dahulu.
   Pada setiap hari orang ramai dibenarkan melawat mayatnya dan pada hari ulang tahun kelahirannya sambutan secara besar-besaran diadakan dan puluhan ribu rakyat Vietnam menziarahi muzium di mana mayatnya disimpan dan dipamerkan. Kami yang berada di Hanoi pada hari tersebut telah berpeluang menziarahi mayat Ho Chi Minh pada hari ulang tahun kelahirannya itu.
   Apa yang hendak dinyatakan didalam tulisan saya kali ini ialah betapa hebatnya semangat patriotik rakyat Vietnam dan semangat menghormati pemimpin yang banyak berjasa kepada negaranya. Saya dapati pelawat-pelawat yang datang adalah dari pelbagai lapisan rakyat termasuklah golongan orang kurang upaya.
   Di negara tercinta Malaysia ini, saya tidak  pernah tahu bahawa setiap ulang tahun kelahiran pemimpin-pemimpin terdahulu diadakan sambutan atau majlis rasmi menziarahi kubur mereka atau mengadakan majlis tahlil untuk mereka. Adalah tidak dinafikan terdapat beberapa majis tahlil yang tersendiri di pelbagai tempat  diadakan untuk mengingati pemimpin-pemimpin tersebut.   
   Jadi, tidak salah rasanya jika saya mencadangkan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab mengikuti budaya orang-orang Vietnam supaya diadakan majlis rasmi untuk rakyat menziarahi pusara pemimpin-pemimpin dan mengadakan majlis rasmi membaca  tahlil untuk mereka. Budaya menziarahi pusara ini sudah tentu akan dapat meningkatkan rasa hormat dan memuliakan pemimpin yang telah berjasa membangunkan dan memajukan negara Malaysia tercinta ini. Tanpa pengorbanan dan pimpinan mereka belum tentu lagi kita dapat menikmati kemewahan dan keamanan yang cukup selesa seperti sekarang ini. Pada masa yang sama semangat patriotik  tentu dapat disuburkan lagi dikalangan generasi baru yang memang tidak akan memahami erti pengorbanan pemimpin dahulu jika tiada usaha yang terancang untuk memahamkan mereka.
   Perkara ini atau majlis rasmi mengingati pemimpin ini sudah pasti mempunyai serampang banyak mata. Peluang mengujudkan tenaga kerja untuk menjaga tempat-tempat untuk dilawati, pendapatan dari sumbangan pelawat atau lebih jelas lagi hasil dari jualan tiket untuk melawat tempat-tempat yang dimaksudkan, perniagaan kepada agen-agen pelancongan, perniagaan kepada pengusaha pengangkutan, perniagaan kepada penjual makanan dan minuman dan pelbagai perniagaan lain yang akan ujud hasil dari program ini yang sudah pasti akan menyuburkan lagi kitaran ekonomi setempat.
   Justeru, saudara-saudaraku,  ambillah contoh yang baik dari negara Vietnam ini dan kita boleh ubahsuai mengikut ukuran dan budaya kita sendiri. Kita adalah serupa, jika ingin jasa kita dikenang maka belajarlah mengenang jasa orang lain terlebih dahulu. 

No comments:

Post a Comment