Thursday, 24 May 2012

Jangan digigit tangan yang menyuap nasi...

Menjangkau usia enam puluh tahun ini tentulah saya banyak mengalami perubahan yang berlaku dalam negara kita ini. Saya menulis ini adalah atas kesedaran untuk memberi nasihat dan peringatan kepada generasi muda dan generasi sebaya yang bercita-cita nak beralih rasa tentang betapa pentingnya kita mengetahui dan memahami segala perubahan  dan bagaimana kemajuan negara ini diperolehi. Ia tidak berlaku secara semulajadi tetapi ianya berlaku melalui  perancangan dan perhitungan yang teliti.
Dulu, saya ke sekolah rendah cukup dengan pakai selipar dan bawa buku dalam bag mengkuang yang dianyam sendiri oleh emak. Belanja sekolah cuma sepuluh sen dan kalau emak tak ada duit,  saya bawa telur itik dan jual kepada guru-guru di sekolah untuk buat duit belanja.
Wahai adik-adik dan anak-anak ku, jangan mencemek bibir kepada tulisan ini, bacalah sehingga habis supaya kau faham dan sedar tentang untung nasib bangsa mu masa dulu, masa kini dan masa hadapan.
Kau lahir dirumah batu di taman perumahan, semuanya tersedia lengkap, padang permainan, sekolah, kedai-kedai, klinik dan sebagainya. Kau pergi sekolah dihantar bapa dengan kereta, kasut dan baju kau dibeli di pasaraya dingin, bilik tidur kau dilengkapi penghawa dingin dan disinari lampu neon dan bukannya lampu pelita lagi seperti saya dahulu. Setiap hari lima ringgit diberi oleh ibu ayah untuk berbelanja. Untuk kesana kemari kau dibelikan motorsikal ataupun sebuah kereta. Mewah sungguh hidup mu anak-anak ku.Tak cukup dengan itu diberi pula talipon bimbit supaya senang kau di hubungi dan berhubung dengan rakan-rakan mu.
Dari manakah kemewahan ini kau perolehi. Datuk nenek mu bukannya orang kaya yang hartanya di warisi oleh emak abah mu. Sudah tentu ayah ibu mu sudah berjaya hidupnya masa kini dan mampu memberi segala kemewahan kebendaan kepada mu dan adik beradik mu yang lain.
Datuk mu cuma orang kampong biasa yang  pasti tidak mampu membelanjakan emak abah mu belajar hingga ke luar negara. Kehidupan mereka bergantung kepada hasil kebun getah yang sekangkang kera dan hasil bercucuk tanam yang tak seberapa. Tetapi mereka percaya dengan memberi pelajaran kepada anak-anaknya iaitu emak abah mu, sudah pasti  akan dapat merubah hidup mereka. Mereka tahu, kerajaan yang ada akan membantu segala-galanya.
Emak abah mu berjaya kerana taraf pelajaran mereka tinggi. Punya ijazah dari pelbagai universiti. Siapa yang membelanjakan mereka. Kerajaan mana yang begitu prihatin terhadap peningkatan pelajaran anak bangsa seperti kerajaaan kita ini. Tak lain dan tak bukan ianya adalah kerajaan BN yang ada sekarang ini. Jangan kau perdebat kenyataan ini dengan slogan itu adalah tanggung jawab kerajaan kerana ada banyak kerajaan dalam dunia ini tidak bertanggung jawab dalam perkara ini.  Kau dan adik beradik mu belajar di menara gading didalam dan luar negara. Siapa yang memberi belanja. Ayah ibu mu mengeluarkan belanja kepada perkara yang asas sahaja tetapi yuran pengajian, sara hidup dan perbelanjaan lain ditanggung oleh siapa. Bukan kah ianya ditanggung oleh kerajaan kita.
Kini kau bergaji besar, berkereta besar, mampu memiliki rumah di taman-taman elit dan rumah mu dikawal rapi oleh jaga siang dan malam. Tetapi malangnya, ramai daripada kamu mula meragui peranan kerajaan sekarang ini dan terang-terangan kau berani berkata kerajaan sekarang ini perlu di tukar. Sudah butakah mata hati mu. Sudah lupakah segala budi yang diberi. Kau sanggup menggigit tangan yang menyuap nasi ke mulut mu.
Jangan, jangan buat begitu wahai anak-anak ku. Kau juga akan punya anak dan cucu. Fikir dan renungkan. Apakah kau mampu memberi sepertimana yang telah kau perolehi dari kerajaan kita ini dahulu. Cukupkah wang simpanan mu.         
Bukankah perbelanjaan semakin meningkat sekarang ini. Apakah kau yakin dan percaya kerajaan baru yang hendak kau sokong itu nanti boleh berbuat seperti kerajaan sekarang ini buat.  Ingatlah anak-anak ku, di dalam kilat ada kilaunya.  Dalam silat ada pencaknya.
Kau begitu berani dan lantang mempertikaikan intergriti pemimpin sekarang. Bagaimana pula dengan intergriti diri mu sendiri.  Bagaimana pula intergriti pemimpin yang bakal kau sokong itu. Insaf dan sedarlah anak-anak ku.
Sanggupkah kau melihat ayam dikepuk mati kelaparan dan itik di air mati kehausan.
Wahai anak-anak ku, kita adalah serupa, masih perlukan bantuan dan sokongan kerajaan, kita tidak mampu berpecah kerana perpecahan kita nanti adalah memberi ruang dan peluang untuk mereka(!!)  terus menindas, menghina dan seterusnya melenyapkan identiti bangsa.
Contoh dan teladan terbentang nyata. Diseberang sana laungan azan tanpa suara. Nasi sudah menjadi bubur. Identiti bangsa telah terkubur.
       Ini hanyalah sedikit contoh yang saya ingin kongsikan dan  masih banyak lagi isu-isu lain yang lebih berat dan sensitif untuk diperkatakan.
Justeru, sedarlah wahai anak-anak ku, percayalah, yakinlah, bukalah mata hati mu seluas-luasnya. Menukar kerajaan bukan perkara mainan. Salah perhitungan bakal merana sepanjang zaman.
Saya merayu tanpa ada kepentingan. Mata hati ku yakin dan percaya Melayu akan terus terbela dengan kerajaan yang sedia ada. Semoga ALLAH SWT akan terus merestui kita semua.

Tuesday, 22 May 2012

Jasa kita akan dikenang jika kita mengenang jasa orang



Pada 17 Mei 2012 lalu saya berpeluang lagi melancong ke  Vietnam dan kali ini tumpuannya ialah ke bandaraya Hanoi yang terletak di utara Vietnam. Kami sampai di Hanoi jam 9.20 pagi waktu Hanoi atau jam 10.20 pagi waktu Malaysia.
   Rombongan kami seramai 30 orang, terus menaiki bas menuju Ha Long Bay di mana kami telah dibawa melawat sekitar Ha Long Bay yang terkenal dengan keindahan alam semulajadinya dan bermalam di dalam kapal “Ha Long Emotion Cruise”.
   Suasana di teluk tersebut amat nyaman dan air lautnya tenang tanpa deburan ombak kerana dipagari oleh ribuan pulau-pulau besar dan kecil yang pelbagai bentuk dan rupa. Inilah keunikan Ha Long Bay. Saya berkata kepada isteri yang sedang berbaring di atas katil di dalam cruise, inilah kebesaran Allah dan kita hendaklah bersyukur kerana telah  memberi peluang kepada kita ke sini untuk menyaksikan kehebatan ciptaanNya.
   Pada Sabtu 19 Mei 2012,  adalah hari ulangtahun kelahiran Ho Chi Minh(bapa pembangunan Vietnam), yang ke 122. Ibu negara Vietnam yang dahulunya dikenali sebagai Saigon telah ditukar kepada nama beliau yang kini dikenali sebagai Bandaraya Ho Chi Minh. Ho Chi Minh meninggal dunia dalam tahun 1969. Mayatnya tidak dikuburkan tetapi diawet dan disimpan disebuah muzium berhampiran tempat tinggal dan  pejabatnya di zaman beliau berkuasa dahulu.
   Pada setiap hari orang ramai dibenarkan melawat mayatnya dan pada hari ulang tahun kelahirannya sambutan secara besar-besaran diadakan dan puluhan ribu rakyat Vietnam menziarahi muzium di mana mayatnya disimpan dan dipamerkan. Kami yang berada di Hanoi pada hari tersebut telah berpeluang menziarahi mayat Ho Chi Minh pada hari ulang tahun kelahirannya itu.
   Apa yang hendak dinyatakan didalam tulisan saya kali ini ialah betapa hebatnya semangat patriotik rakyat Vietnam dan semangat menghormati pemimpin yang banyak berjasa kepada negaranya. Saya dapati pelawat-pelawat yang datang adalah dari pelbagai lapisan rakyat termasuklah golongan orang kurang upaya.
   Di negara tercinta Malaysia ini, saya tidak  pernah tahu bahawa setiap ulang tahun kelahiran pemimpin-pemimpin terdahulu diadakan sambutan atau majlis rasmi menziarahi kubur mereka atau mengadakan majlis tahlil untuk mereka. Adalah tidak dinafikan terdapat beberapa majis tahlil yang tersendiri di pelbagai tempat  diadakan untuk mengingati pemimpin-pemimpin tersebut.   
   Jadi, tidak salah rasanya jika saya mencadangkan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab mengikuti budaya orang-orang Vietnam supaya diadakan majlis rasmi untuk rakyat menziarahi pusara pemimpin-pemimpin dan mengadakan majlis rasmi membaca  tahlil untuk mereka. Budaya menziarahi pusara ini sudah tentu akan dapat meningkatkan rasa hormat dan memuliakan pemimpin yang telah berjasa membangunkan dan memajukan negara Malaysia tercinta ini. Tanpa pengorbanan dan pimpinan mereka belum tentu lagi kita dapat menikmati kemewahan dan keamanan yang cukup selesa seperti sekarang ini. Pada masa yang sama semangat patriotik  tentu dapat disuburkan lagi dikalangan generasi baru yang memang tidak akan memahami erti pengorbanan pemimpin dahulu jika tiada usaha yang terancang untuk memahamkan mereka.
   Perkara ini atau majlis rasmi mengingati pemimpin ini sudah pasti mempunyai serampang banyak mata. Peluang mengujudkan tenaga kerja untuk menjaga tempat-tempat untuk dilawati, pendapatan dari sumbangan pelawat atau lebih jelas lagi hasil dari jualan tiket untuk melawat tempat-tempat yang dimaksudkan, perniagaan kepada agen-agen pelancongan, perniagaan kepada pengusaha pengangkutan, perniagaan kepada penjual makanan dan minuman dan pelbagai perniagaan lain yang akan ujud hasil dari program ini yang sudah pasti akan menyuburkan lagi kitaran ekonomi setempat.
   Justeru, saudara-saudaraku,  ambillah contoh yang baik dari negara Vietnam ini dan kita boleh ubahsuai mengikut ukuran dan budaya kita sendiri. Kita adalah serupa, jika ingin jasa kita dikenang maka belajarlah mengenang jasa orang lain terlebih dahulu. 

Serupa tarikh tetapi berbeza tahun


 suasana seperti ini hanya terdapat didalam negara yang aman damai ...
Dalam keghairahan semua orang bercakap tentang politik negara masa kini, maka saya juga ingin tumpang sama untuk menceritakan pengelaman lama yang telah saya lalui empat puluh tiga tahun yang lalu. Waktu itu saya berada didalam tingkatan lima. Di suatu petang, emak saya telah meminta saya menghantar padi yang telah dijemurnya untuk dikisar menjadi beras di sebuah kilang padi kepunyaan koperasi di kampung seberang di mana kilang padi itu berada (kini kilang padi tersebut telah tiada dan kawasan kilang tersebut telah ditanam pokok getah). Pada ketika itu sawah di hadapan rumah kami masih diusahakan dan setiap tahun emak dan seluruh penduduk kampung kami  mengusahakan sawah padi. Di luar musim padi emak menanam kacang tanah dan jagung di atas tanah sawah yang seluas satu ekar atau seluas dua jenjang ikut ukuran  tradisional. Pangkal sawah padi itu di hujung halaman rumah kami  dan hujungnya bersempadan dengan sungai di hadapan rumah kami. Hasil dari jualan jagung dan kacang tanah emak  kumpul-kumpulkan dan sebahagian besar perbelanjaan emak dan abah  pergi tunaikan haji adalah dari duit tersebut. Sungai itu pula adalah tempat saya membasuh pakaian di waktu perigi kekeringan airnya dan sungai itulah juga tempat saya mandi manda bersama kawan-kawan tatkala airnya besar. Kini, sungai tersebut terlalu berbeza sifat fizikalnya. Sempit dan kecil. Saya pernah membawa anak-anak ke sungai itu tatkala menziarahi emak dan anak-anak tidak percaya kepada cerita-cerita saya tentang kehebatan saya terjun, menyelam dan berakit di sungai itu bersama kawan-kawan di suatu ketika dulu.
       Balik kepada cerita saya diawal tadi di mana setelah selesai padi yang saya bawa dikisar di kilang, saya ambil berasnya dan letak di atas basikal untuk pulang ke rumah. Upah kisar padi itu telah saya bayar di waktu mula sampai apabila padi itu selesai ditimbang.
     Didalam perjalanan pulang ke rumah, belum pun sampai setengah perjalanan saya nampak emak berlari-lari tanpa memakai selipar dan tudung kepalanya memanggil saya dan berkata cepat balik kerana orang China telah mengamuk  dan jangan pergi kemana-mana. Duduk di rumah diam-diam.  Sampai di rumah saya lihat abah (kini abah telah kembali ke Rahmatullah, semoga Allah swt sentiasa merahmatinya)  tengah tekun mengasah parang yang katanya kalau apa-apa berlaku dia akan turut berlawan menggunakan parang tersebut. Peristiwa yang penuh dengan ketakutan dan kegelisahan itulah yang lebih dikenali sebagai PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969. Di bandar Kuala Lumpur pergaduhan telah berlaku antara orang China dengan orang Melayu. Ramai yang terbunuh dan banyak harta benda dibakar. Tragedi itu telah menukar senario politik negara dan pada saya terlalu banyak rahmatnya berbanding kerosakan dan kemusnahan yang berlaku.  Pada masa itu abang saya bekerja di Kuala Lumpur sebagai pemandu di sebuah syarikat kepunyaan seorang China. Abang saya tidak dapat dikesan selama beberapa hari. Kami sekeluarga berada didalam suasana yang amat sedih dan gelisah. Di mana hendak dicari dan kepada siapa hendak bertanya di mana abang saya berada.
     Rupa-rupanya abang saya tidak dibenarkan balik dan diajak tinggal di rumah majikannya itu, kerana dikhuatiri perkara buruk akan menimpa abang saya jika dia terus berjalan balik kerumahnya.
     Punca pergaduhan antara orang China dan orang Melayu seperti yang saya difahamkan pada ketika itu ialah kerana sebahagian kecil orang-orang China di Kuala   Lumpur telah begitu angkuh dan sombong akibat sedikit kemenangan yang diperolehi oleh parti orang China di Kuala Lumpur dalam pilihanraya tahun 1969 itu  dan mereka telah berarak meraikan kemenanagn tersebut dengan kata-kata penghinaan dan melaungkan jeritan supaya orang Melayu balik kampung kerana mereka telah menguasai Kuala Lumpur.
     Peristiwa berdarah ini sampai juga kesannya ke kampung saya dan telah berlaku juga beberapa tragedi luka antara orang China dan orang Melayu.
     Biarlah peristiwa hitam itu tinggal di dalam lipatan sejarah dan marilah kita semua berusaha agar peristiwa seperti itu tidak  berlaku lagi kerana kesan dan lukanya amat dalam dan pedih  dalam senario perpaduan kaum di negara tercinta Malaysia ini.
     Kini, Mei 2012. Peristiwa Mei 1969, empat puluh tiga tahun yang lalu masih tebal didalam ingatan saya. Pilihanraya semakin hampir. Lagu-lagu politik rancak didendangkan. Penyanyinya semakin berani menyanyikan lagu-lagu yang sensitif dari sudut perpaduan kaum di negara ini. Ketakutan sebahagian besar orang-orang Melayu jika negara tercinta ini jatuh ketangan rakus semakin ketara dan keghairahan segelintir maanusia untuk menjadi pemimpin negara semakin membara tanpa mengambilkira akibat dan kesan dan tanpa mengambil iktibar segala pengajaran silam. Mereka lupa saudara dan mereka lupa nasib anak bangsa di hari-hari muka. Mereka lupa kita tidak punya apa-apa selain dari kuasa. Mereka juga lupa bahawa kuasa boleh ditebus gadai dengan wang dan harta. Mereka lupa bahawa selain dari musuh politik kita sering di adu dumba oleh kuasa ketiga. Kuasa ketiga sentiasa curiga dan tidak selesa kerana sebahagian besar rakyat Malaysia adalah  berpegang teguh kepada ajaran Allah yang esa.
     Justeru itu, percayalah wahai saudara-saudara ku yang sebangsa dan bukan sebangsa bahawasanya jika kita ingin terus selesa dan ceria hidup di negara tercinta Malaysia ini, marilah kita teruskan kesinambungan pemerintahan yang ada kerana telah terbukti nyata bahawa  ianya telah banyak memberi jasa demi kedaulatan bangsa dan keamanan untuk semua. Percayalah kita tidak punya apa-apa sebenarnya, kecuali kuasa. Kekalkan kuasa yang ada demi masa hadapan yang penuh gemilang. Kita lupakanlah segala titik bengik dan kesilapan lalu dan kita fikirkanlah masa hadapan yang selesa untuk anak cucu yang bakal mewarisi negara tercinta ini. Saya tidak yakin anak cucu kita akan hidup selesa jika negara tercinta ini jatuh ketangan orang-orang yang rakus dan gila kuasa. Jadikan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai iktibar. Semoga Allah swt akan terus melindungi kita dan negara ini dari sebarang bencana. Kita adalah serupa, ingin hidup selesa dan ceria di negara tercinta ini hingga selama-lamanya.


Wednesday, 9 May 2012

Masihkah kau ingat?

Masih kah kau ingat? Inilah wajah saya tiga tahun yang lalu.  Kita tidak mungkin seiras tapi kita tetap serupa. Manusia yang saling perlu  memerlukan.  

Kita adalah serupa

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum wbt, Kita adalah serupa, diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Nya dan untuk memakmurkan dunia ini. Pernahkan kita berfikir apa yang kita lakukan setiap hari itu adakah kita suka atau sengaja kita lakukan tanpa mengira apakah perlakuan kita itu memberi kebaikan kepada kita dan kepada orang disekitar kita. Kita adalah serupa. Jika kita tidak suka kepada sesuatu perkara itu, maka   janganlah kita lakukan kerana orang lain juga tidak suka kepada perkara itu kerana kita adalah serupa.